TEH O SUAM ROTI BAKAR #1: DUNIA INI SEDERHANA KECIL

Labels:

Kami memperkenalkan kolum baru yang diberi nama: TEH O SUAM ROTI BAKAR. Kenapa nama itu? Kerana kami anggap membaca buku sambil minum teh o suam dan makan roti bakar itu sungguh mengujakan (lapar la pulak, harap-harap Encik Arief datang ke Wangsa Melawati dan belanja kami roti bakar :P)

Kolum ini khas memuatkan resensi editor-editor PTS ONE terhadap buku PTS ONE yang digemari (atau yang dia tidak gemar)

Untuk episod pertama kolum TEH O SUAM ROTI BAKAR, Saudari Mazlia akan memperkatakan tentang buku "Dunia Ini Sederhana Kecil", dipersilakan;

*@*@*@*@*@*@*@*@*@

Apabila editor menjadi pembaca...

Sebagai pembaca biasa, saya juga ada kegemaran tersendiri. Jadi, dengan berbesar hatinya saya hendak berkongsi pandangan peribadi saya berkenaan buku terbitan PTS One yang saya rasa menarik dengan kawan-kawan.

Menarik sangatkah buku ini?
Pada saya. ya. Buku ini sangat menarik.

Ada apa dengan buku ini?
Saya suka olahannya. Buku ini mungkin berat sedikit bagi sesetengah kawan-kawan yang sukakan olahan yang lebih ringkas. Tetapi, sekiranya kawan-kawan hendak merasa terhibur di samping berfikir serba sedikit berkenaan falsafah hidup, maka buku ini memenuhi permintaan pembaca. Lawaknya spontan, tidak dibuat-buat dan tidak dijangka. Kesimpulannya, buku ini buat saya tersenyum dan ketawa. Mungkin kawan-kawan juga akan merasa yang sama. Jadi, silalah baca. :)

Siapa yang sesuai baca?

Kawan-kawan remaja yang belum berhadapan dengan dunia sebenar.
Alam pekerjaan adalah sesuatu yang rumit berbanding persekolahan. Orang yang bernasib baik, mudah. Semuanya berjalan lancar. Tetapi, tidak semua orang begitu. Sekurang-kurangnya kawan-kawan mendapat sedikit gambaran dan sediakan payung sebelum hujan.

Kawan-kawan yang baru habis belajar dan sedang bersusah payah mencari kerja.
Mungkin (mungkin sahaja) buku ini akan memberi kawan-kawan perasaan lega dan harapan. Lega kerana – okey, ada orang lain yang senasib. Harapan kerana – kalau Syamir mampu menempuhnya, kawan-kawan juga tentu boleh.

Mereka yang sudah mempunyai pekerjaan.
Bersyukurlah dan hargailah kerja yang kawan-kawan miliki kerana walaupun mungkin gajinya kecil, bos macam bagus dan semua yang buruk-buruk ada dalam dunia pekerjaan kawan-kawan, sekurang-kurangnya, kawan-kawan ada pekerjaan untuk mendapat duit bagi membayar duit PTPTN, hutang kereta dan sewa rumah dan membeli makanan. (err... macam kenal saja orang yang selalu terlupa untuk bersyukur ini...)

Semua yang suka buku.
Kesimpulannya, semua orang patut baca buku ini. Hehehe....

Dan kini, saya menantikan karya Bahruddin Bekri yang seterusnya. Sebagai editor, juga sebagai pembaca. :)

BACA BUKU DALAM TELEFON

Labels:


Kawan-kawan tahu tentang Mbook?

Ha, ini yang hendak kami ceritakan ini.

Dulu, kalau sebut telefon bimbit, kemudahannya terbatas sebagai alat komunikasi. Senang cerita, alat untuk Alif bercakap dengan Bahar. Tapi perkembangan teknologi yang semakin pesat menjadikan telefon bimbit menjalani evolusi yang tidak pernah kita fikirkan 10 tahun yang lalu. Kini dengan telefon bimbit kita boleh merakam gambar, video, surf internet, bermain games...

dan baca buku!!!

Bayangkan kawan-kawan hendak ke KLCC, sedang menunggu LRT yang lembab. Apa yang boleh kawan-kawan buat? Baca buku di telefon bimbitlah! Tak payah lagi nak bawa 10 judul buku dalam beg. Semuanya boleh disimpan di dalam telefon bimbit.

Semudah makan cendol!

Aplikasi muat-turun novel ke telefon bimbit ini dinamakan MBOOK hasil kerjasama PTS ONE dan METAMOBILE SDN BHD. Setakat ini sudah lebih 100 judul boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit kawan-kawan.

Lebih dari itu, cuma RM5 untuk memuat turun. Murah dan pantas bukan?

PTS ONE percaya, suatu hari nanti kita boleh membudayakan minat membaca mbook di kalangan remaja Malaysia seperti mana yang berlaku di Jepun, di mana 5 buah buku carta best seller berasal dari buku yang dibaca melalui telefon bimbit. Satu statistik yang mengkagumkan jika dilihat aplikasi mbook di Jepun baru diperkenalkan pada tahun 2004.

Ayuh kawan-kawan, mari baca buku.

Link:
Metamobile
Maxis

Novel Gitar dan Lolipop

Gitar dan Lolipop

Melihat kulit novelnya, sudah terbayang cerita anak muda yang gilakan muzik. Namun, apabila membaca tajuknya pula, pelbagai persoalan terbayang. Apa kaitan gitar dan lolipop? Selalunya gitar dikaitkan dengan lelaki, manakala lolipop dikaitkan dengan kanak-kanak ataupun perempuan.

Wujud suatu pertentangan di sini. Namun pertentangan ini digabungkan menjadi tajuk novel terbaru Nuriazam Ismail. Menariknya novel ini, ia menceritakan anak remaja yang bermain muzik tetapi pada masa sama terikat dengan tangungjawab sebagai pelajar dan keluarga.

Antara babak yang terkesan dalam hati saya, apabila watak utama mendengar lagu ciptaan sendiri dimainkan oleh kumpulan muzik terkenal. Sayangnya, lagu itu sebenarnya diplagiat tanpa izinnya. Jangan terkejut, cerita ini diakhiri dengan satu plot yang membuatkan anda termenung. Tidak tahu samada anda patut gembira ataupun sedih. Sesuatu yang jarang berlaku dalam penulisan moden. Anda patut rasai pengalaman membaca plot seperti ini.

Apa pula kaitannya dengan Lolipop? Cukuplah saya beritahu, selepas membaca novel ini, apabila saya terlihat budak perempuan makan gula-gula itu, pasti teringat Liz Lolipop.

Melihat pertembungan konflik dari cerita ini, novel ini boleh dianggap sebagai novel yang disenangi pembaca perempuan dan lelaki.